Haznah Ali, 59 , Weaam Lukman , 8 bulan dan kakaknya , Wedad Abdullah, 2, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan dalaman.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Said Ibrahim ketika mengesahkan menerima laporan memberitahu, kejadian kira-kira pukul 11 15 pagi itu berlaku di satu laluan lurus di atas sebuah jambatan di lebuh raya tersebut.

Mohd Said berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila kereta jenis Proton Wira yang yang dipandu oleh Lukman Waeni , 31 , seorang warganegara Thailand yang datang dari arah Kuantan menuju ke Kuala Terengganu tberhenti di bahu kiri jalan untuk berehat

Menurutnya, sebuah lagi kereta Perodua Axia yang dinaiki oleh seorang lagi mangsa (Haznah) bersama tiga lagi penumpang yang datang dari arah yang sama telah merempuh belakang kereta yang dinaiki oleh dua beradik tersebut.

“Akibat perlanggaran tersebut, kedua -dua beradik yang duduk dibahagian belakang bersama ibunya telah tercampak keluar dan mengalami kecederaan dalaman.

“Seorang lagi mangsa wanita yang duduk di bahagian belakang penumpang kereta yang berlainan turut mengalami kecederaan dalaman dan telah dikeluarkan oleh orang ramai yang berada di lokasi kejadian ,”katanya.

Tambah Mohd Said, sepasukan anggota perubatan dari Klinik Kesihatan Bandar Seri Bandi yang tiba tidak lama kemudian telah mengesahkan kesemua mangsa sudah meninggal dunia dan membawa kesemua mangsa yang cedera ke Unit Kecemasan Hospital Kemaman untuk menerima rawatan lanjut.

Salah seorang saksi, Zamri Zaaba , 37, ketika ditemui berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang dari Bandar Kuantan menuju ke Bandar Paka dan setibanya di lokasi, dia terus keluar untuk membantu mangsa yang berada di dalam kedua - dua kenderaan tersebut.

“Keadaan masa itu memang kelam kabut sedikit, dengan orang ramai berhenti untuk membantu termasuk mengalihkan mayat dua beradik itu ke tepi jalan.” katanya.

Menurut Mohd Said, kes akan disiasat dibawah Seksyen 41 ( 1 ) Akta Pengangkutan Jalan ( APJ ) 1987.

Kesemua mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital yang sama untuk proses bedah siasat dan urusan pengebumian manakala kesemua mangsa yang cedera dilaporkan stabil.- UTUSAN ONLINE