Bagaimanapun penantian Shahril Apipie Mokhtar, 29, dan isterinya, Wan Hasheliza Wan Ibrahim, 29, bakal menimang cahaya mata sulung mereka sekitar bulan Ogos ini tidak menjadi kenyataan.

Lebih memilukan anak yang dikandung selama lapan bulan oleh Wan Hasheliza turut terkorban.

Kembar kepada Shahril Apipie, Sheril Aida, 25, berkata, kali terakhir dia berhuhung dengan arwah abang dan kakak iparnya menerusi aplikasi whatsApp sejak dua hari lalu.

Menurutnya, mengikut perbualan dia bersama abang dan kakak ipar mereka dijangka pulang ke Pasir Puteh hujung bulan ini.

“Abang beritahu dia sudah tidak sabar menunggu kelahiran cahaya mata pertama selepas tiga tahun menanti,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sheril Aida memberitahu, dia juga sudah tidak sabar menanti kelahiran anak saudaranya yang baharu itu.

Katanya, ini merupakan anak saudara yang kedua untuk dirinya.

Sementara itu, bapa saudara Shahril Apipie, Mohd Nasir Yusoff, 42, berkata, seluruh ahli keluarga abangnya telah bertolak ke Kuala Lumpur pada pukul 6 petang sebaik sahaja mendapat maklumat mengenai kejadian itu.

Jenazah pasangan suami isteri itu akan dikebumikan di kampung halaman isterinya di Pasir Puteh.

Shahril Apipie dan Wan Hasheliza adalah antara empat yang maut dalam kejadian kira-kira pukul 12.50 tengah hari.

Turut maut dalam kejadian itu, jiran mereka Mohd. Radezi Abdul Aziz, 35, dan Bambang Sulistio yang merupakan warga Indonesia. - UTUSAN ONLINE