Nahas pada pukul 4.40 pagi itu mengorbankan pemandu kereta jenis Toyota Hilux, Nishan Singh Dhillon, 30, serta dua sepupunya iaitu Rajminder Singh, 26, dan Gurdial Singh, 28.

Ketiga-tiga mangsa yang ce­dera parah meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori berusia 40 tahun yang turut parah dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Ng Kong Soon berkata, ketika kejadian, pemandu lori tersebut yang memandu di lorong kiri dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Tapah dari Ipoh.

Menurutnya, semasa tiba di tempat kejadian, kenderaan To­yota Hilux yang dinaiki mangsa telah merempuh bucu tepi sebe­lah kanan belakang lori dipandu lelaki terbabit.

“Rempuhan itu menyebabkan lori terbabit terbabas lalu melanggar penghadang jalan sebelah kiri jalan manakala Toyota Hilux itu pula hilang kawalan.

“Ketiga-tiga mangsa yang ber­ada dalam kenderaan pacuan empat roda itu cedera parah setelah tercampak keluar daripada kende­raan mereka,” katanya.

Menurut Kong Soon, ketiga-tiga mangsa maut di tempat kejadian manakala pemandu lori dihantar ke HRPB untuk rawatan kecemasan.

Katanya, mayat kesemua mangsa dihantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat serta siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti punca kemalangan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.