Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, mangsa yang maut ialah Hamirul Neeza Abdul Rahman Justin, 20, dan Muhamad Hamizi Isak, 18, yang dalam perjalanan dari arah Parit Sulong menghala ke Batu Pahat.

Turut meninggal dunia dalam insiden terbabit ialah Muhammad Fikri Zulhizir, 18, yang datang dari arah bertentangan ketika kejadian berkenaan.

Pemangku Ketua Polis daerah, Superintenden KS Mender Singh berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal dibawa Muhamad Hamizi bertembung dengan motosikal di­tunggang Muhammad Fikri.

Menurut beliau, ke­dua-dua motosi­kal tersebut bertembung secara berhadapan sebelum mo­tosikal dinaiki Hamirul Nee­­za pula dipercayai tidak sempat mengelak lalu melanggar kedua-dua mereka.

“Akibat pelanggaran itu, Ha­mirul Neeza terpelanting ke pokok di bahu kiri jalan, manakala Muhamad Hamizi dan Muhammad Fikri masing-masing tercampak di bahu kiri jalan serta di tengah jalan.

“Kesemua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kece­deraan parah di bahagian kepala dan beberapa anggota ba­dan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambah Mender Singh, motosikal dinaiki Muhamad Ha­mizi dan Muhammad Fikri remuk teruk di bahagian hadapan, manakala motosikal Hamirul Neeza rosak di bahagian depan kiri.

“Mayat ketiga-tiga mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk proses bedah siasat. Kes masih disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.