Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, tiga kawasan berkenaan ialah sepanjang laluan Jalan Chain Ferry ke Jambatan Merdeka, Lingkaran Luar Butterworth (BORR) dan Lebuhraya Utara Selatan (Kilometer (KM) 115- KM130.9).

“Pihak polis akan mempertingkatkan tugasan rondaan anggota di semua laluan ini menerusi pelaksanaan Op Selamat bermula 29 Mei hingga 12 Jun depan sempena Hari Raya Aidilfitri.

“Kita juga menambah kekuatan anggota sebanyak 30 peratus dan kesemua anggota akan turun ke lapangan dengan menjalankan tugas rondaan bermotosikal, berkereta serta statik,” katanya dalam sidang akhbar sempena kempen keselamatan jalan raya peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPU di Plaza Tol Bertam di sini hari ini.

Menurut Noorzainy selain itu pihak polis juga akan meningkatkan rondaan pencegahan jenayah di taman-taman perumahan terutama di kawasan Bertam untuk memantau rumah dan premis yang ditinggalkan sepanjang musim perayaan.

“Kita jangka mulai esok penghuni di beberapa taman perumahan akan secara berperingkat pulang ke kampung halaman masing-masing,” katanya.

Infografik:

Tiga lokasi panas yang sering berlaku kemalangan maut di daerah Seberang Perai Utara (SPU) Pulau Pinang:

1) Laluan sepanjang Jalan Chain Ferry ke Jambatan Merdeka.

2) Lingkaran Luar Butterworth (BORR).

3) Lebuhraya Utara Selatan (Kilometer (KM) 115- KM130.9). - UTUSAN ONLINE