Nur Amna, 5, bersama ayah­nya Mohd. Azni Mohd. Zakri, 34, dan abangnya Muhammad Aryan Ziqri, 7, dikatakan dilanggar dari belakang oleh sebuah bas ekspres ketika membelok ke kanan untuk memasuki persimpangan Jalan Bahagia kira-kira pukul 9.50 malam tadi.

Selepas dilanggar, ketiga-tiga beranak itu dipercayai tercampak ke laluan bertentangan sebelum digilis oleh sebuah lori yang datang dari arah Pasir Puteh menuju ke Machang.

Ibunya Laila Mohd. Zazali, 31, berkata, Nur Amna memberi­tahu dia mahu menjadi anak syurga selepas mereka sekeluarga solat maghrib berjemaah di rumah mereka di Batu 25 dekat sini.

“Sebelum itu, suami saya bertanya kepada saya mengenai surat beranak anak bongsu kami itu. Saya kata ada di rumah emak saya di Kampung Kolam Abu kira-kira tiga kilometer dari rumah kami. Selepas solat, suami dan dua anak kami tunggang motosikal ke rumah emak untuk ambil surat beranak.

“Dalam perjalanan pergi, mereka singgah di sebuah klinik di Machang untuk membeli ubat kerana anak sulung kami Muhammad Aryan demam. Ti­dak sampai sejam kemudian, adik saya, Zulkar datang memberitahu mengenai kemalangan membabitkan suami dan dua anak kami ini,” katanya ketika ditemui di Hospital Machang di sini hari ini.

Menurut Laila, sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, hatinya luluh apabila suami dan dua anaknya sudah tidak bernyawa kerana kecederaan yang serius.

“Saya kehilangan kesemua­nya serentak namun saya reda dengan ketetapan Allah. Sebelum mereka turun dari rumah semalam, dua beradik itu beria-ia mahu duduk di riba saya. Nur Amna juga menunjukkan sikap lebih periang dan petah daripada sebelum ini.

“Tapi berbeza dengan suami, dia kelihatan lebih pendiam dan tidak mahu bergurau senda seperti biasa. Sebelum ini, suami akan menaiki kereta kancil kami jika keluar pada waktu malam tetapi kereta rosak dan belum dibaiki, jadi semalam suami naik motosikal,” katanya.

Ketiga-tiga beranak itu dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakat di sini pada pukul 7 pagi tadi.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah, Asisten Superintenden Mohd. Shamsuri Mohd. Zain berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa dilanggar oleh sebuah bas ekspres yang dalam perjalanan dari arah Machang ke Pasir Puteh untuk menghantar penumpang ke Jerteh, Terengganu.

“Tiba di lokasi kejadian, bas itu dikatakan melanggar belakang motosikal ditunggang tiga beranak yang datang dari arah Machang dan mahu membelok ke kanan sehingga menyebabkan tiga beranak itu tercampak ke atas laluan bertentangan dan dilanggar oleh sebuah lori,” katanya.