Mohamad Faris Faisal Che Azmi, 15; Mohamad Afiz Zulhilmi, 13, dan Nur Damia Sofea, 7, yang cedera dalam kemalangan itu dirawat di Hospital Kuala Krai.

Abang sulung mangsa, Mohamad Izzat Danial Che Azmi, 23, berkata, adik bongsunya, Nur Damia Sofea agak teruk kerana mengalami kecederaan dalaman dan patah tangan kanan.

Katanya, dia selaku abang sulung bersama seorang lagi adiknya, Mohamad Syakir Aiman, 18, terpaksa bergilir-gilir menemani tiga adik yang cedera itu.

“Kami memohon doa daripada orang ramai supaya mendoakan adik perempuan bongsu cepat sembuh.

“Mereka masih menerima rawatan di Hospital Kuala Krai sejak hari kejadian lagi dan keadaan semakin baik," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dalam kemalangan pukul 4.50 pagi, Jumaat lalu, ibu bapa tiga beradik yang cedera itu, Che Azmi Che Hamzah, 48, Nor Hayati Mohamed, 43, antara tiga yang maut selepas dua kenderaan bertembung.

Arwah Che Azmi bersama isteri dan tiga anak mereka menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza dari Johor Bahru untuk pulang ke rumahnya di Taman Mesra di bandar ini.

Turut maut dalam kemalangan itu, pemandu van jenis Toyota Hiace, Zulfaizan Muhammad, 43, manakala, isteri, Wan Zakiah Wan Abdul Razak, 39, dan lapan anak mereka cedera.

Cerita Mohamad Izzat Danial, dia juga tidak berjauhan dengan adik bongsu, Nur Damia Sofea apabila kerap memanggil ibu mereka apabila sedar.

Katanya, dia lebih rela adiknya itu tidur kerana kerap bertanya dan memanggil ibu mereka berulang kali.

“Kami turut sedih apabila adik bertanyakan ibu yang sudah tiada. Mengikut laporan doktor, adik mengambil masa yang panjang untuk rawatan di sini.

“Doktor masih menunggu bengkak di muka surut dan ingin melakukan rawatan terperinci sekiranya terdapat pendarahan di bahagian dada.

“Bagi dua lagi adik, mereka mungkin dibenarkan pulang lebih awal kerana keadaan kesihatan bertambah baik. Mereka juga sudah menerima kenyataan kami menjadi yatim piatu apabila ibu bapa kami sudah tiada,” katanya. - UTUSAN ONLINE