Tanpa disangka tidak berapa lama selepas itu, dia menerima perkhabaran duka.

Jirannya memaklumkan menerusi telefon yang suaminya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya membabitkan dua motosikal dan sebuah kereta di Kilometer 44.7, Jalan Baharu Kulim-Baling.

Menurut Norhayati, dia tidak menyangka suaminya itu tidak sempat menggayakan baju Melayu coklat yang sudah pun di­seterika semalam.

“Sejak dari awal, suami sudah meminta supaya baju itu diseterika untuk dipakai ketika solat sunat Aidiladha nanti.

“Permintaan itu saya tunaikan namun saya tak sangka dia pergi hari ini. Saya reda dengan pemergiannya dan jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Kuala Pegang selepas waktu asar hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Selain A. Razak, kemalangan itu turut mengorbankan seorang lagi penunggang motosikal, Shafiee Che Man, 29, serta penumpang hadapan kereta terlibat, Ummul Atiqah Abdul Lattif, 20.

Pemandu kereta berkenaan, Syed Najmuddin Syed Salim, 20, pula mengalami kecederaan parah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shariffudin Mohd. Yusof berkata, kejadian itu dipercayai berlaku pada kira-kira pukul 7.52 pagi.

“Kereta Perodua Viva dipandu Syed Najmuddin dipercayai memasuki laluan bertentangan. Keadaan itu menyebabkan motosikal ditunggang A. Razak dan Shafiee gagal mengelak lalu terlanggar bahagian pintu penum­pang depan kereta berkenaan,” katanya.

Tambah Shariffudin, kejadian disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.