Che Muhammad Saifullah maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dengan pikap di Kilometer 17, Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Renok Baru di sini, petang semalam yang turut meragut nyawa suami penga­suhnya, Muhamad Sobri Mohamad Khairi, 26.

Nik Rohayu Nik Mat, 32, berkata, biarpun pahit, dia dan suami, Mohd. Shapiin Ismail, 35, terpak­sa menerima hakikat anak tunggal mereka yang baru sahaja pandai bercakap telah pergi selama-lamanya.

“Saya dan suami reda dengan takdir Allah. Sebelum kejadian, penga­suh anak saya, Ismawani Che Yazid, 25, telah meng­hubungi saya memaklumkan untuk pergi ke Gua Musang bersama anak saya.

“Bagaimanapun tidak berapa lama kemudian saya menerima panggilan daripada orang yang tidak dikenali melalui telefon bimbit memaklumkan bahawa anak saya terlibat dalam kemalangan dan meminta saya segera ke Hospital Gua Musang. Sebaik sampai ke hospital, anak kami sudah meninggal dunia,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Nik Rohayu yang bertugas sebagai kerani di Sekolah Kebangsaan Chi­ku 3 berkata, Che Mu­hammad Saifullah dijaga oleh Ismawani sejak dia berusia lima bulan dan mereka memang rapat.

Dalam kejadian kemalangan tersebut, dua maut dan tiga lagi parah selepas sebuah kereta Proton Wira dan pikap bertembung berhampiran Kampung Renok Baru, di sini pada pukul 4.40 petang semalam.