Tiga beradik berkenaan, Muhamad Haris Ikhwan Mohd Sulaiman, 10, dan Hafiz Iskandar, 11, serta Syafiq Haikal, 13, adalah antara 23 yang terkorban dalam kebakaran pusat tahfiz di Jalan Keramat Ujung di sini, pagi tadi.


Sepupu mangsa, Mas Aliza Ali Bapoo, 22, berkata panggilan yang diterima ibunya, Mas Anizan Mohammad Shahid, 43, daripada Hafiz Iskandar, agak pelik kerana kanak-kanak itu memberitahu 'dia mahu pergi'. 


"Ketika bercakap dengan ibu saya, dia kata mahu pergi, apabila ibu tanya mahu pergi ke mana, Hafiz kata pergilah. Ibu saya kata pergi ke balik, kemudian dia kata balik cuti dan meminta kami menjemput mereka bertiga pulang. Ia agak pelik kerana memang setiap hujung minggu (Sabtu dan Ahad) kami bawa mereka balik," katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.


 Mas Aliza bersama ibunya Mas Anizan yang merupakan bekas pelakon popular tahun 90-an, berada di perkarangan Institut Perubatan Forensik Negara, Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk tujuan tuntutan jenazah tiga beradik itu.


Mas Aliza berkata sepupunya itu dijaga ibunya setelah bapa kanak-kanak itu meninggal dunia pada tahun 2005. 


"Kami bercadang untuk mengambil ketiga-tiga beradik itu pada Sabtu ini tetapi tak sangka mereka semua terkorban hari ini, kami semua terkejut. Saya paling terasa sebab segala urusan ke sekolah tahfiz ini, saya yang uruskan dan kalau balik cuti pun, saya yang ambil mereka," kata Mas Aliza.


Tiga beradik itu mula belajar di sekolah tahfiz berkenaan Januari tahun ini dan ketiga-tiganya sering memberitahu mereka seronok belajar di situ.


Tragedi kebakaran 5.15 pagi itu mengorbankan 21 pelajar berumur antara 11 hingga 17 tahun serta dua guru yang juga warden.


Kesemua jenazah mangsa kini ditempatkan di Hospital Kuala Lumpur untuk proses pengecaman. - BERNAMA