Kejadian berlaku kira-kira pu­kul 10.50 pagi ketika mangsa, Azizan Sahari, 42, dan isteri­nya, Nor Baiti Awang, 44, dalam perjala­n­an pulang dari Klinik Kesihatan Juasseh yang terletak kira-kira dua kilome­ter dari rumah mereka di Taman Putra dekat sini.

Menurut seorang saksi yang enggan dikenali, dia melihat sebuah lori yang sarat muatan pasir sedang bergerak dari arah Batu Kikir ke Kuala Pilah di jalan berke­naan sebelum kemalangan itu berlaku.

“Tiba-tiba dua buah tayar sebe­lah kanan lori itu tercabut lalu melantun dan menghentam mangsa yang menaiki motosikal di jalan bertentangan.

“Akibatnya, kedua-dua mang­sa tercampak ke pagar duri sebuah ladang di tepi jalan berke­naan,” katanya.

Azizan yang bekerja sendiri di Batu Kikir dan isterinya yang merupakan pekerja pembersihan di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Jempol meninggal dunia di lokasi kejadian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Deputi Superin­tenden Syahrul Anuar Abd Wahab ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut, namun siasatan lanjut berhubung kes itu masih dijalankan.

Menurutnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pemandu lori berkenaan dibebaskan selepas keterangannya diambil oleh pihak polis.

Sementara itu, kakak Nor Baiti, Zainon Awang, 54, berkata, dia mendapat maklumat adik perem­puannya pergi Klinik Kesihatan Juasseh bersama Azizan bagi mendapatkan rawatan penyakit lelah untuk Nor Baiti.

Dia ketika ditemui di lokasi kejadian berkata, kedua-dua mangsa mempunyai tiga anak lelaki dan dua anak perempuan masing-masing berusia antara 12 hingga 22 tahun.