Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Ashari Abu Samah berkata, kejadian tanah runtuh itu dipercayai berlaku ekoran hujan lebat sejak malam tadi hingga pagi ini.

Katanya, kedua-dua kejadian itu bagaimanapun tidak melibatkan mangsa atau kemalangan jiwa.

“Kejadian pertama dilaporkan pada pukul 6 pagi di kawasan kebun di Jalan Ulu Merah melibatkan tanah runtuh yang berlaku kira-kira 15 meter dari atas jalan dengan anggaran keluasan terjejas 10 meter.

 

“Kejadian kedua pula berlaku pada pukul 9.30 pagi di Jalan Ringlet-Blue Valley dengan luas kawasan yang terjejas akibat kejadian itu kira-kira 32 meter,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, kerja-kerja pembersihan tanah runtuh sedang dijalankan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) di kawasan terlibat.

Katanya, jalan di kawasan tersebut juga terpaksa ditutup untuk semua kenderaan bagi tujuan pembersihan.

“Dua laluan di kawasan terjejas tidak mempunyai jalan alternatif lain dan pihak berkuasa sedang giat melakukan kerja-kerja pembersihan.

“Bagaimanapun, sehingga pukul 12 tengah hari tadi, laluan di Jalan Ringlet-Blue Valley telah dibuka satu lorong ,” katanya.-UTUSAN ONLINE