Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Penguasa Bomba Mohamad Mustakim Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada kira-kira pukul 11.28 malam dan tiba di lokasi kejadian 18 minit kemudian. 

“Setiba di lokasi kejadian mendapati sebuah rumah satu tingkat kelas A sudah 90 peratus terbakar. Sebanyak 18 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerang dan Jitra segera membuat kerja-kerja pengawalan dan memadam kebakaran,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Difahamkan, kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya kira-kira sejam kemudian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintenden Noh Idris ketika dihubungi memberitahu, rumah anak yatim itu didiami 15 kanak-kanak berusia antara lapan hingga 12 tahun.

“Kebakaran disyaki berpunca daripada litar pintas pada bangunan stor berkenaan. Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan berlaku,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE