Komander Smart, Mohd. Zahar Abdullah berkata, pengiktirafan tersebut amat penting kerana melaluinya pasukan itu dapat bergerak secara sendiri ketika memberi bantuan kepada negara yang memerlukan.

Menurutnya, International External Classification itu juga antara usaha untuk memantapkan pasukan elit tersebut selain membolehkannya diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Dalam penilaian itu nanti, Smart yang disertai anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan diuji termasuk keupayaan anggota, peralatan dan dokumentasi.

“Dengan pengiktirafan itu nanti, pasukan penyelamat negara boleh pergi ke mana-mana negara untuk melakukan operasi menyelamat dengan dilengkapi kelengkapan sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Tamat Latihan Kursus Khas Smart Siri 1/2015 yang disempurnakan oleh Penolong Ketua Pengarah Bahagian Latihan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Mohammad Hamdan Wahid di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak di sini hari ini.

Yang turut hadir Komandan Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak, Mohamad Zin Salleh.

Tambah Mohd. Zahar, setakat ini, hanya Singapura menjadi satu-satunya negara dari Asia Tenggara yang telah menerima pengiktirafan seumpama itu.

“Ketika ini kita mempunyai 141 anggota Smart yang terdiri daripada 11 pegawai dan 130 anggota.

“Daripada segi latihan dan kelengkapan, semuanya mencukupi. Baru-baru ini juga kita telah membuat pembelian peralatan baharu bernilai RM7 juta,” katanya

Sementara itu, Mohammad Hamdan berkata, latihan asas yang disertai 50 pelatih pada kursus berkenaan merupakan antara usaha untuk membentuk pasukan pengurusan bencana besar negara termasuk kemusnahan aset dan nyawa yang perlu ditangani secara sistematik.

Katanya, kursus itu juga dijalankan bagi menyediakan ahli pasukan yang sentiasa bersiap sedia dengan peranan serta tanggungjawab sebagai pasukan berkualiti, kompeten dan bertaraf dunia.

Katanya, sehingga kini, Smart telah menyertai misi kemanusiaan Acheh, Timur Leste, Turki dan Filipina.

“Pada siri ini seramai tiga pegawai dan 47 anggota lain-lain pangkat menjalani latihan selama enam minggu antaranya fobia mayat secara berseorangan, fobia ketinggian serta ketahanan fizikal.

“Mereka ini kemudiannya akan menjalani kursus pengukuhan anggota dan pengurusan kemalangan udara. Ini kerana kecemerlangan sesuatu pasukan penyelamat adalah melalui latihan secara berterusan,” katanya.