Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata, tindakan tersebut akan diambil bergantung kepada siasatan yang akan dibuat oleh pihaknya dan pihak yang bertanggungjawab dalam soal lereng dan cerun di seluruh negara.

Katanya, beliau dimaklumkan bahawa kerja pembinaan itu sebenar telah dihentikan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

"Bagaimanapun, kita mengambil berat kejadian yang berlaku semalam dan akan menyiasatnya.

"Jika berlaku perlanggaran SOP, kita akan bertindak dan sekiranya didapati kecuaian oleh pihak kontraktor, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) boleh ambil tindakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Lawatan Kerja di Akademi Binaan Malaysia (ABM) Kuching sebentar tadi.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Zohari Akob dan Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Datuk Ir. Ahmad Asri Abdul Hamid.

Setakat ini, empat mayat telah ditemukan dan 11 lagi dipercayai masih hilang dalam kejadian tanah runtuh yang dipercayai menghempap sebanyak empat buah kontena dijadikan rumah pekerja di tapak projek pembinaan lebuh raya.

Projek pembinaan lebuh raya itu yang menghubungkan Bukit Kukus dan Paya Terubong itu merupakan projek di bawah seliaan MBPP. - UTUSAN ONLINE