Muhammad Zulfadhli Yusri, 21, yang patah kaki kanan dalam kejadian tersebut memberitahu, dia telah menjauhi aktiviti basikal lajak dan menyesal dengan apa yang telah berlaku.

“Kalau nampak orang bermain basikal, saya akan buat tak tahu. Saya juga sudah tidak teringat-ingat lagi peristiwa tersebut,” katanya kepada pemberita selepas menerima cek pampasan yang disampaikan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ir. Hasni Mohammad di sini hari

MOHD. ZULFADLI YUSRI
MOHD. ZULFADLI YUSRI 

ini.

Muhammad Zulfadhli, anak sulung daripada dua beradik itu yang kini bekerja di sebuah pasar raya di Taman Sri Stulang amat berterima kasih kepada UMNO Johor yang memberi bantuan guaman bagi menuntut pampasan berkaitan kes berkenaan.

UMNO Johor ketika itu di bawah pimpinan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah me­lantik peguam mewakili mangsa bagi membuat tuntutan sivil di mahkamah de­ngan kos ditanggung parti tersebut manakala pampasan diberikan secara penuh kepada mangsa.

Jumlah pampasan keseluruhan dibayar syarikat insurans pemandu yang terlibat dalam kemalangan tersebut berdasarkan persetujuan kedua­-dua pihak selepas melalui proses mahkamah selama hampir setahun adalah RM500,000.

Daripada jumlah tersebut, pampasan yang akan diterima oleh mangsa adalah berbeza mengikut kondisi serta kecede­raan ma­sing-masing.

Pampasan menerusi tuntutan sivil adalah berbeza de­ngan kes di Mahkamah Jenayah Trafik yang mana pemandu yang sama telah didakwa di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dengan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda tidak mele­bihi RM20,000 serta lesen memandu digantung, jika disabit kesalahan.

Difahamkan kes tersebut masih berjalan.

Pada 18 Februari 2017, lapan remaja maut manakala lapan lagi cedera akibat dirempuh sebuah kereta semasa mereka menunggang basikal secara berkumpulan di Jalan Lingkaran Dalam berhampiran Tanah Perkuburan Islam Mahmoodiah di sini kira-kira pukul 3.30 pagi. 

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Muhammad Arif Salman, 17, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permas Jaya 3 di sini berkata, dia kini menumpukan perhatian kepada

MUHAMMAD FITRI MUHAMAD FATONI
MUHAMMAD FITRI MUHAMAD FATONI 

persekolahan dan pada masa sama bekerja sambilan di sebuah restoran makanan segera.

 Dia yang cedera di kepala, mata, bahu, tangan dan kedua-dua kaki dalam kejadian itu sehingga dirawat selama se­minggu memberitahu tidak lagi mengingati kejadian itu, namun akan teringat jika ada yang bercerita mengenainya.

“Kalau boleh saya dah tak mahu ingat lagi peristiwa itu, saya pun dah tak main basikal lagi dan sampai hari ini pun tiada lagi kawan-kawan yang datang ke rumah dan ajak main basikal,” katanya yang berterima kasih atas bantuan UMNO Johor.

Muhammad Fitri Muhamad Fatoni, 19, yang kini bekerja di sebuah gerai makan di Larkin di sini pula mengakui ada bermain basikal adiknya di halaman rumah sekali-sekala, namun tidak lagi menyertai aktiviti menunggang basikal lajak.

Dia yang cedera kaki kiri dan bahagian punggung dalam kemalangan tersebut bakal me­langsungkan perkahwinan hujung bulan ini dan merancang menggunakan sebahagian daripada duit pampasan bagi majlis itu.