Kemalangan berlaku kira-kira pukul 7.50 pagi itu menyebabkan mangsa, Mohd Nazeri Zakaria, 42, yang memandu kereta jenis Nissan Grand Livina meninggal dunia di tempat kejadian.

Tiga lagi yang cedera ialah anak lelaki mangsa berusia 16 tahun, pemandu Proton Exora dan pemandu lori membawa muatan zin.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Ismail Che Isa berkata, kemalangan berlaku ketika mangsa bersama dua anaknya sedang dalam perjalanan dari arah Jeli ke Gerik.

“Kenderaan dipandu mangsa telah hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan dilanggar oleh Proton Exora yang datang dari arah Gerik.

“Akibat daripada perlanggaran itu, sebuah lori membawa muatan zin yang mengekori Proton Exora tersebut juga telah melanggar pada bahagian hadapan kenderaan itu,” katanya di sini hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE