Ia menjadikan jumlah mangsa yang maut dalam kejadian itu kini tiga orang.

Mangsa Amir Udin Abol Kasim, 20, dari Myanmar meninggal dunia kira-kira pukul 6.20 petang hari ini ketika sedang menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ).

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, setakat ini tiga lagi mangsa kejadian itu sedang dirawat di HSJ.

"Mereka diilaporkan dalam keadaan kritikal akibat kecederaan di kepala.

"Mangsa yang terbabit dalam kejadian ini membabitkan warga tempatan, Myanmar dan Indonesia," katanya, di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 4.20 petang hari ini, enam pekerja dilaporkan terperangkap selepas ditimpa runtuhan tiang dan kerangka bumbung.

Siasatan awal polis mendapati, kejadian itu dipercayai berlaku apabila pemandu kren terlanggar struktur tiang yang menyebabkan kerangka bumbung yang masih dalam pembinaan runtuh. - UTUSAN ONLINE