Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, Presley Tataw, 27, bersama saudaranya, Rederict Benediet Rody, 12, mandi sungai di hadapan rumah panjang mereka namun dilihat hampir lemas lantas cuba diselamatkan Henry Tataw, 28, sebelum ketiga-tiga hilang.

Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit menerima maklumat kejadian tersebut daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini pada pukul 5.37 petang.

Katanya, seramai enam anggota diketua Ketua Balai, Arrahman Chik bergerak ke lokasi kejadian namun perjalanan hanya sampai ke Rumah Panjang Menalun.

“Perjalanan diteruskan ke Nanga Menalun pada pukul 6.45 pagi dan tiba pukul 7.35 pagi seterusnya mendirikan Pos Kawalan Bomba (PKB).

“Anggota operasi seterusnya bergerak menggunakan perahu panjang milik orang kampung untuk sampai ke Nanga Ulin yang mengambil masa kira-kira dua jam,” katanya ketika dihubungi di sini sebentar tadi.

Mengulas lanjut, katanya, agensi terlibat termasuk anggota polis dari IPD Kanowit. - UTUSAN ONLINE