Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Said berkata, kebanyakan mangsa ribut yang ditemui amat mengharapkan peruntukan daripada kerajaan kerana pada masa ini mereka dalam keadaan buntu untuk mencari wang tambahan bagi membaiki rumah masing-masing.

"Dalam keadaan umat Islam menyambut Hari Raya Aidiladha esok, ramai antara kita yang diuji dengan bencana ribut sehingga merosakkan kediaman masing-masing.

"Mangsa yang terlibat amat mengharapkan peruntukan segera disalurkan oleh kerajaan negeri kepada mereka untuk membolehkan bahagian rumah yang rosak dibaiki," katanya di sini hari ini.

Dalam kejadian ribut yang melanda negeri ini bermula pukul 10.30 malam semalam, lebih 200 rumah di sekitar Seberang Perai dilaporkan mengalami kerosakan.

Kebanyakan rumah mengalami kerosakan di bahagian bumbung akibat dihempap pokok serta diterbangkan angin kencang.

Menurut Mohd. Zaidi beliau dan telah bertemu dengan mangsa-mangsa ribut di lebih lapan buah kampung di kawasan Parlimen Permatang Pauh hari ini.

"Kita telah sampaikan bantuan wang serta bahan makanan kepada mereka yang terlibat.

"Kami berharap bantuan yang disalurkan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban yang ditanggung mangsa ribut," katanya.

Dalam pada itu, seorang mangsa ribut, Mohd. Noor Awang berkata, kejadian ribut itu berlaku amat pantas sehingga bumbung rumahnya rosak diterbangkan angin kuat.

"Kami amat berharap bantuan untuk membaiki kerosakan rumah mangsa-mangsa ribut disegerakan kerana tidak semua mempunyai wang tambahan untuk membaiki bumbung rumah yang rosak ini," katanya. - UTUSAN ONLINE