Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi itu, Nuraznida Aziz, 34 dan suaminya Muhd. Shaiful Amri Saifuddin, 35, tinggal sehelai sepinggang apabila rumah yang didiami mereka musnah sepenuhnya.

Kebakaran yang melibatkan tiga buah rumah itu turut menyebabkan pasangan suami isteri warga emas, Che Siti Azizah Ab Rahman, 65, Wan Zain Wan Ahmad, 75, tinggal sehelai sepinggan manakala sebuah rumah lagi tidak berpenghuni.

Sementara itu, Nuraznida berkata, sebelum kejadian, dia sedang memanaskan minyak untuk menggoreng kulit popia bagi menyiapkan tempahan.

Katanya, sepertia biasa, dia akan menyiapkan tempahan pada sebelah malam sehingga waktu subuh.

"Ketika menunggu minyak panas, saya sempat ke tandas kerana kebiasaannya minyak mengambil masa lima hingga enam minit untuk panas. Malah sebelum ke tandas, saya juga sempat melihat bacaan suhu minyak.

"Walau bagaimanapun, sebaik keluar dari tandas, saya ternampak dinding dapur sudah terbakar. Waktu itu, saya segera berusaha untuk memadamkan api namun gagal kerana api semakin marak," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Nuraznida berkata, setelah melihat api semakin marak, dia segera mengejutkan suaminya yang sedang tidur.

"Kami tidak sempat menyelamatkan apa-apa, malah peralatan membuat kuih bernilai lebih RM10,000 juga hangus terbakar.

"Ketika itu, kami hanya terfikir untuk menyelamatkan diri sahaja kerana api marak dengan begitu cepat," katanya. -UTUSAN ONLINE