Malah, dia yang masih dirawat di Hospital Kuala Lipis didapati tidak mengalami kecederaan akibat gigitan serangga meskipun berada dalam tempoh yang lama di dalam hutan.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Sha’ari Ngadiman berkata, Tarmizi berada dalam keadaan stabil dan kembali pulih selepas ditemukan dalam keadaan lemah.

“Pihak hospital telah mengambil darahnya bagi ujian lanjut dan dia berada dalam keadaan sihat.

“Kita terus memantau keadaannya yang dijangka dibenarkan keluar hospital Rabu ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tarmizi yang hilang pada 11 Ogos lalu memasuki hutan berkenaan bersama tujuh rakannya bagi melakukan kerja pemasangan kamera program ‘1st National Tiger Survey’.

Semasa dalam perjalanan pulang ke kem utama, mangsa yang berpecah dan berjalan bersama seorang rakannya melalui jalan sungai sambil memasang kamera telah hilang.

Dia ditemukan dalam keadaan lemah kelmarin berhampiran anak sungai kira-kira empat kilometer daripada kem utama.

Sementara itu, Tarmizi dan ahli keluarganya yang dikunjungi petugas media hari ini enggan memberikan sebarang komen berhubung kehilangannya.

“Minta maaf, saya tidak mahu (ditemuramah), lain kali sahaja,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE