Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Jokhiri Abd Aziz berkata, kejadian berlaku pada pukul 2.05 pagi itu dipercayai berpunca setelah mangsa berusia 17 tahun itu menegur dan menasihati dua suspek kerana memasang lagu dan muzik dengan kuat menggunakan pembesar suara kereta di parkir di kawasan flat.

“Teguran itu menyebabkan berlaku pertengkaran dan pergaduhan kecil sebelum sekumpulan suspek lain iaitu rakan kepada dua lelaki itu datang dengan menaiki sebuah kereta dan beberapa motosikal.

“Sekumpulan lelaki kira-kira seramai 15 orang itu kemudiannya mengerumuni mangsa sebelum beberapa suspek yang membawa parang dan pisau menyerang mangsa hingga menyebabkannya cedera parah di bahagian belakang badan dan kepala,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Mangsa yang cedera parah dihantar dan dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan (merusuh dengan senjata) dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan (mendatangkan cedera parah dengan senjata). - UTUSAN ONLINE