Menurut Ketua Polis daerah, Superitenden Aidi Sham Mohamed, dalam kejadian kira-kira pukul 7.15 pagi itu, mangsa, S. Chandru, 18, disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal jenis Honda EX5 di laluan yang merupakan kawasan taman perumahan.

"Bagaimanapun, mangsa hilang kawalan lalu motosikalnya terbabas ke dalam longkang kecil dan kepala mangsa terhentak pada jalan raya.

"Remaja itu didapati tidak memakai topi keledar mengakibatkan kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Aidi Sham memberitahu, mayat mangsa yang berasal dari Kampung Sengkang, Pasir Panjang di sini dihantar ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat.

Ujarnya, siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 41 (1) (a) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE