Nahas pada pukul 6.40 pagi itu mengorbankan Ng Yan Heng di tempat kejadian manakala rakannya berusia 19 tahun yang memandu kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max cedera.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Omar Bakhtiar Yaacob berkata, kemalangan berlaku ketika kereta dinaiki dua remaja itu dalam perjalanan dari arah Simpang Lima menuju ke Tanjung Piandang.

Katanya, apabila sampai di tempat kejadian kenderaan tersebut dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum bergesel dengan sebuah Proton Iswara dipandu lelaki berusia 38 tahun.

“Perlanggaran itu menyebabkan kenderaan dinaiki mangsa terbabas ke tepi jalan dan merempuh sebatang tiang elektrik. 

“Rempuhan kuat itu menyebabkan mangsa yang duduk di bahagian penumpang hadapan kenderaan tersebut parah dan maut di tempat kejadian manakala rakannya dan pemandu kenderaan lain cedera,” katanya.-UTUSAN ONLINE