Dalam kejadian pukul 6.20 pagi itu, mangsa rakyat tempatan berusia 22 tahun ditemui meninggal dunia di lokasi kejadian dalam keadaan tidak berbaju.

Difahamkan, mangsa yang menetap di kawasan sekitar telah dilanggar lari oleh sebuah kenderaan ketika dia melintas jalan.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Hamzah Ahmad berkata, mangsa dilanggar sebuah kenderaan dari arah Tungku ke pusat bandar Lahad Datu.

"Mangsa disahkan sebagai rakyat tempatan meninggal dunia di lokasi kemalangan.

"Maklumat awal mendapati, mangsa telah melintas jalan secara tiba-tiba dan pemandu gagal mengelak," katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Tambah Hamzah, polis kini sedang memburu suspek dan meminta orang ramai untuk memberikan maklumat.

"Berdasarkan maklumat orang awam, suspek melarikan diri sejurus menyedari kejadian itu," katanya.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil ke Balai Polis Lahad Datu ataupun menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohammad Kemil Rahmat 089-881255.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE