Walau bagaimanapun, keadaan Muhammad Shahreza Ramli, 19, masih belum pulih kerana kesakitan yang dialaminya dekat tangan kiri dan kepala.

Menurut kakanya, Intan Shafina Ramli, 25, adiknya itu tidak mampu ingat sepenuhnya insiden yang berlaku.

Namun anak sulung daripada enam beradik itu bersyukur dan memberitahu, adiknya boleh melihat dan bercakap meskipun tidak jelas.

"Sebelum ini, doktor memberitahu adik saya mungkin hilang penglihatan, tetapi sekarang Alhamdulillah sejak sedar dia menunjukkan tindak balas yang baik ketika ujian penglihatan dibuat.

"Cuma rawatan pada bahagian kepala masih diteruskan dan dijangka esok Muhammad Shahreza akan menjalani pembedahan untuk merawat rahangnya yang patah," katanya ketika wartawan Utusan Online melawat mangsa langgar lari itu.

Bagi tujuan pembedahan untuk merawat rahang Muhammad Shahreza yang patah, keluarganya memohon bantuan orang ramai untuk menampung kos rawatan dan pembedahan yang mencecah sehingga RM5,000.

Ibunya, Hamidah Tumin, 51, memberitahu, dia perlu menjelaskan deposit kira-kira RM3,000 supaya anaknya dapat menjalani pembedahan.

"Saya tidak tahu di mana hendak cari duit sebanyak itu.

"Saya bukan daripada keluarga senang, sekarang pun anak sulung (Intan Shahira) yang bekerja menyara kami sekeluarga sementara ayahnya tidak boleh bekerja.

"Saya mohon bantuan jika ada sesiapa yang mahu menghulurkan sumbangan agar Muhammad Shahreza dapat menjalani pembedahan esok," katanya.

Terdahulu, anak ketiga daripada enam beradik itu dilanggar lari oleh sebuah van yang melanggar lampu merah dekat persimpangan berhampiran sebuah pusat membeli-belah di Kelana Jaya ketika menunggang motosikal bersama kakaknya.

Akibat daripada kejadian itu, dia mengalami kecederaan serius di bahagian kepala termasuk patah tulang rahang, soket kedua-dua belah mata dan patah tangan kiri.

Orang ramai yang ingin meringankan beban keluarga mangsa boleh menyalurkan bantuan melalui akaun CIMB 7011062279 atas nama Intan Shahira Ramli. - UTUSAN ONLINE