Penolong Pengarah Bahagian Penyiasatan Kebakaran Kuala Lumpur, Penguasa Kanan Bomba (PgKB) I, Ashari Johari berkata, punca dan sumber nyalaan kebakaran yang didakwa bermula dari tengah kawasan bazar itu ada di dalam kertas keputusan siasatan tersebut.

Namun menurutnya, pihaknya tidak dapat mendedahkan lagi perkara itu sehingga dapatan keputusan di dalam kertas siasatan dibentangkan kepada pengurusan tertinggi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Selepas mendengar pembentangan, pihak pengurusan JBPM akan memberi penerangan kepada pihak majlis eksekutif pentadbiran kerajaan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan jabatan berkaitan.

“Selepas itu barulah keputusan siasatan akan diumumkan oleh pengurusan tertinggi JBPM,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam kejadian yang berlaku pada pukul pagi Isnin lalu, sebanyak 25 peniaga berputih mata apabila gerai mereka di hadapan Wisma Yakin, Jalan Masjid India musnah dalam kebakaran. - UTUSAN ONLINE