AMIR HAMZAH
AMIR HAMZAH 

Amir Hamzah Zulkifli, 27, disahkan meninggal dunia pada pukul 2.30 petang akibat kecederaan parah yang dialaminya setelah kenderaan pelbagai guna ( MPV ) yang dipandunya terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelum terbalik.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Said Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan kejadian tersebut yang berlaku pada pukul 7.30 pagi di kilometer 110, Jalan Kuala Terengganu - Kuantan itu.

 “ Mangsa yang bersendirian dipercayai dalam perjalanan dari kediamannya di Sura Gate Dungun menuju ke tempat kerja di Pejabat Pos Kerteh. Akibat dari kemalangan tersebut, mangsa dikatakan tercampak keluar dari kenderaannya,”ujar beliau.

 Tambah Mohd Said, sepasukan anggota perubatan yang tiba tidak lama kemudian telah memberikan rawatan kecemasan sebelum mangsa dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut.

 “ Kita menunggu hasil bedah siasat yang dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian sebelum diserahkan kepada keluarga untuk proses pengebumian,” katanya. - UTUSAN ONLINE