Mayat Chai Mee Leng, 53, ditemukan pekerja lebuh raya berkenaan dalam keadaan terbaring di tempat duduk pemandu kereta jenis Perodua Bezza kira-kira pukul 9 pagi.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Mohd. Nor Marzukee Besar berkata, pihak polis dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh pihak PLUS pada pukul 9.10 pagi.

"Anggota polis telah pergi ke lokasi dan mendapati lelaki itu telah meninggal dunia di dalam kereta dipercayai miliknya," katanya, di sini hari ini.

Mohd. Nor Marzukee berkata, siasatan mendapati terdapat kesan tebukan serta tiub pada anggota badan lelaki yang berasal dari Puchong, Selangor itu dipercayai kesan rawatan buah pinggang.

Katanya, ahli keluarganya turut memaklumkan polis bahawa Mee Leng menghidap penyakit buah pinggang kronik sejak tahun 2014 dan menjalani rawatan dialisis air enam jam sehari.

Ujarnya, kematian mangsa dipercayai akibat sakit buah pinggang yang kronik dan tiada unsur unsur jenayah. - UTUSAN ONLINE