Syarikat terbabit merupakan pemilik treler yang me­rempuh sebuah kereta sehingga mengorbankan lima individu termasuk seorang bayi di Kilometer 255.3 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara dekat Terowong Menora, Perak pada Sabtu lalu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, notis penggantungan itu akan dikeluarkan Suruhanjaya Pe­ngangkutan Awam Darat (SPAD) petang ini bagi membolehkan siasatan dan audit dilakukan.

“Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah juga sudah diarahkan untuk memastikan semua kenderaan milik syarikat itu ditempatkan di depot dan bukannya berada di jalan raya ketika permitnya digantung.

“Selepas diaudit dan diberikan surat tunjuk sebab oleh SPAD, lesen pengendali operasi syarikat berkenaan boleh digantung,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Siew Fook, tindakan tegas akan dikenakan ke atas mana-mana syarikat yang menggaji pemandu positif dadah agar menjadi pengajaran kepada syarikat lain.

Mengulas lanjut, Siew Fook berkata, pihaknya juga telah meminta Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) melakukan kajian bagi mencari alternatif supaya laluan Terowong Menora tidak digunakan kende­raan berat.

“Bagaimanapun kajian perlu dilakukan secara menyeluruh berhubung perkara itu termasuk mengambil kira kesan kepada pengguna lain sekiranya jalan alternatif digunakan, termasuk jalan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata, JPJ sudah diarah meletakkan anggota penguat kuasa di laluan menuruni bukit dan sebelum Te­rowong Menora bagi melakukan pemeriksaan lebih ketat terhadap kenderaan berat membawa muatan berlebihan dalam tempoh satu hingga dua bulan ini.

Mengulas mengenai kejadian pemandu lori yang memandu me­lawan arus di Kilometer 432 Lebuh Raya Utara Selatan semalam, Siew Fook berkata, pihaknya akan mela­kukan siasatan lanjut terhadap syarikat pemilik lori terbabit.

“Kejadian itu membabitkan lori di bawah berat 7.5 tan, jadi permit kenderaan bukan dike­luarkan SPAD, namun kita akan buat pemeriksaan lanjut terhadap syarikat berkenaan bagi memastikan segala peraturan dipatuhi,” katanya.