Dan perjalanan menghantar insan kesayangannya itu menjadi yang terakhir selepas

lelaki berkenaan maut apabila motosikal yang dinaiki bersama wanita itu bertembung dengan sebuah lori di Jalan Mata Ayer di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 11.15 malam itu, mangsa, Hamadi meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala serta badan, manakala isterinya, Marliyana Kema, 36, pula patah kaki kanan.

Wanita itu kini sedang dirawat di unit kecemasan Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini.

Adik ipar mangsa, Nor Shamimi Kema,25, berkata, sebelum ini, kakaknya pergi kerja dengan menaiki van kilang atau menunggang sendiri mototosikal ke tempat kerja.

Bagaimanapun katanya, malam tadi, abang iparnya meminta untuk menghantar kakak dan tidak sangka perjalanan itu menjadi yang terakhir buat abang yang disahkan meninggal dunia.

“Saya reda dengan pemergian abang kerana takdir sudah menentukan abang meninggalkan kami. Kakak pula kini masih di rawat di hospital,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya, jenazah abang ipar selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Cabang di sini, selepas solat Jumaat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Arau, Superintenden Nanda Maarof berkata, motosikal berkenaan dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lori di kawasan berkenaan.

“Mangsa dikatakan masuk ke arah laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori sehingga menyebabkan dia (mangsa) dan isterinya tercampak ke atas jalan raya.

“Mangsa disahkan meninggal dunia dan mayatnya dihantar ke HTF untuk proses dibedah siasat,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.- UTUSAN ONLINE