Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, mangsa, Shahrul Shari, 41, yang berasal dari Jenjarom, Selangor disahkan maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Zani Che Din berkata, wanita berusia 57 tahun yang memandu pacuan empat roda Isuzu Dmaz memberhentikan kenderaan di lorong kecemasan kerana mengalami kerosakan.

"Wanita berkenaan sedang menunggu kereta tunda untuk menarik kenderaannya ke bengkel sebelum mangsa yang menunggang motosikal Honda Kriss merempuh bahagian belakang kenderaan tersebut.

"Pemandu kereta pacuan empat roda itu tidak meletakkan sebarang papan tanda kecemasan dan hanya menyalakan lampu kecemasan kenderaan. Penunggang motosikal disahkan maut dan telah dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk proses bedah siasat," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE