Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, Muhammad Hairi Che Pa, 35, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas diseret sejauh kira-kira 2 km oleh sebuah kenderaan jenis Nissan Grand Livina yang melanggarnya.

Ketua Polis daerah, Deputi Superintenden Anuar Bakri Abdul Salam berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal jenis Suzuki GSX (K1) hilang kawalan dan terbabas di lokasi kejadian.

“Mangsa terjatuh di lorong tengah lebuh raya sebelum dilanggar kenderaan jenis Nissan Grand Livina yang sedang bergerak di laluan sama.

“Pemandu kereta iaitu seorang lelaki berusia 50 tahun hanya menyedari telah melanggar mangsa selepas kenderaannya itu tiba-tiba bergerak perlahan sebelum menghentikan kenderaan itu di lorong kecemasan untuk membuat pemeriksaan,” katanya di sini hari ini.

Anuar Bakri berkata, mayat mangsa dikeluarkan dari bawah kenderaan itu oleh pasukan bomba dan dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Daerah Tampin untuk bedah siasat.

Menurut beliau, kemalangan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE