Mangsa, Zulkifli Jusoh, 48, yang tinggal di Jalan Pulai, Bandar Lama di sini menaiki gua batu kapur yang berketinggian lebih 300 meter itu bersama tujuh lagi rakannya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Anuar Abas berkata, operasi menurunkan mangsa dari puncak gua berkenaan mengambil masa tiga jam.

Katanya, mengikut maklumat mangsa dan rakan-rakannya mendaki gua batu kapur itu pada pukul 5 petang.

“Menurut salah seorang rakan mangsa, dalam pukul 6.15 petang ketika berada di puncak mangsa tiba-tiba jatuh dan terus pitam tidak sedarkan diri.

“Mereka terus menghubungi pihak bomba bagi memohon bantuan,” katanya di sini hari ini.

Anuar Abas berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.21 petang dan seramai 20 anggota telah digerakkan dalam operasi.

Katanya, selain bomba, operasi itu turut mendapat bantuan daripada 10 anggota polis, seorang pegawai perubatan dan lima penduduk kampung.

“Mangsa telah cuba diselamatkan dengan mela­kukan bantuan pernafasan atau cardiopulmonary resuscitation (CPR). Namun, pegawai perubatan yang hadir telah mengesahkan bahawa mangsa telah meninggal dunia.

“Mangsa berjaya diturunkan pada pukul 10.48 malam sebelum diserahkan kepada pihak polis,” katanya.

Sementara itu, bapa mangsa, Jusoh Che Muda, 73, berkata, dia terkejut selepas dimaklumkan kejadian yang menimpa anaknya.

Katanya, anaknya yang masih bujang itu juga tidak mempunyai sebarang penyakit.

“Saya terkejut dan terus datang ke hospital selepas dimaklumkan tentang anak sulung daripada tiga beradik ini.

“Saya sudah lama tidak berjumpa dengannya dan kali terakhir berjumpa pada Hari Raya Aidilfitri tahun lalu,” katanya. - UTUSAN ONLINE