Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

Komander Operasi, Penolong Penguasa Bomba, Mohamad Zaini Rosli berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 4.40 petang dan setibanya di lokasi kejadian, stor perabot berkenaan didapati sudah 70 peratus terbakar.

Katanya, bomba mengambil masa 35 minit untuk memadamkan kebakaran berikutan kesukaran dialami memandangkan sumber-sumber bahan yang tersimpan diperbuat daripada kayu dan papan lapis

"Punca kejadian masih lagi dalam siasatan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini hari ini.

Menurut Mohamad Zaini, seramai 19 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerus serta Kuala Terengganu digerakkan ke lokasi dengan menggunakan tiga buah jentera dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

Sementara itu, peniaga berkenaan, Said Akbar Ahmad. Said berkata, setelah diberitahu pekerjanya mengenai kejadian itu, dia bergegas pulang untuk menyelamatkan perabot namun usaha tersebut gagal kerana api marak dengan pantas.

Katanya, ketika kejadian tiada sesiapa berada di stor dan insiden berkenaan dipercayai berpunca daripada barangan elektrik dapur yang disimpan dalam stor berkenaan.

Said Akbar berkata, berikutan kejadian itu, dia mengalami kerugian hampir RM60,000. - UTUSAN ONLINE