Muhammad Muzhafar Mohd Zaidi, 20, yang cedera parah meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Kemaman tidak lama selepas nahas.

Ketua Polis Daerah ini, Superintenden Mohd. Said Ibrahim berkata, dalam kemalangan pukul 5.30 petang itu, pembonceng motosikal tersebut, Nurul Ain Amatullah Ahmad Zahari, 20, hanya cedera di muka.

Beliau memberitahu, kejadian berlaku sewaktu motosikal dan SUV berkenaan dari arah yang sama iaitu dari Bukit Mentok ke Kampung Tempurung di sini.

Jelasnya, setiba di lokasi kejadian, kenderaan CRV itu hendak memasuki simpang kanan sambil menyalakan isyarat dan secara tiba-tiba motosikal yang dinaiki mangsa gagal memotong lalu melanggar sebelah kanan SUV itu.

“Akibat perlanggaran itu, Muhammad Muzhafar yang menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ itu cedera parah sebelum disahkan meninggal dunia lebih sejam selepas kejadian.

“Manakala rakan pemboncengnya hanya cedera ringan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Muhammad Muzhafar tinggal di Kampung Darat Olong (1) Binjai dan Nurul Ain pula tinggal di alamat Taman Semarak, Binjai di sini. - UTUSAN ONLINE