Justeru itu, pemergian usahawan dermawan itu yang maut dalam kemalangan di Pattani, Thailand pagi ini amat dirasai dan ditangisi para pekerjanya.

Salah seorang pekerja, Mohd. Mahzan Ismail,23, berkata, pada awal Ramadan lalu, Allahyarham meluahkan hasrat mahu sekali membawa pekerjanya ke Mekah bagi mengerjakan umrah.

“Arwah kata nak bawa kami menunaikan umrah ramai-ramai bersama keluarganya dengan naik satu penerbangan. Sebelum ini pun dah ramai pekerja dibawa menunaikan umrah.

“Ketika itu arwah juga ada bercakap soal kematian. Kami sama sekali tidak menyangka itu petanda majikan kami itu akan pergi buat selama-lamanya,” katanya.

Mohd. Mahzan memberitahu, walaupun tegas dalam urusan kerja, soal kebajikan pekerja tetap diutamakan Faziani.

“Setiap hari bermula Ramadan, arwah sediakan lauk-pauk seperti ayam percik dan kuih-muih untuk kami bawa balik berbuka puasa dengan keluarga.

“Kami juga diminta supaya datang solat tarawih beramai-ramai di rumahnya sepanjang Ramadan kali ini,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE