Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi kejadian mendapati pihak kontraktor bersama-sama agensi terlibat seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mula membuat kerja pembersihan pukul 4.15 petang.

Sebelum itu, pihak bomba yang mendapat sokongan pa­sukan di negeri lain turun ke lokasi kejadian bagi mengambil bacaan tahap radiasi bahan toksik menggunakan alat ‘analysis gasmet’.

Bagi kerja pembersihan, sebuah jengkaut digunakan bagi mengorek tanah di tebing sungai sebelum diletakkan dalam sebuah beg plastik untuk dibawa ke pusat pelupusan.

Dianggarkan kira-kira 20 individu yang lengkap berpakaian keselamatan dan topeng mulut mengendalikan tanah yang dikorek.

Ketika kerja pembersihan dilakukan, agensi swasta yang mempunyai kepakaran dalam pengurusan kebersihan dan bahan kimia turut terlibat bagi menggunakan alat ‘aerial gas monitoring’ bagi mengesan kehadiran gas metana.

Difahamkan, selepas kerja mengorek tebing sungai selesai, operasi akan diteruskan dengan mengorek kawasan sungai yang sudah ditanda dan dikenal pasti tercemar.