Dalam kejadian pukul 8.40 pagi berhampiran Plaza Tol Pedas-Linggi itu, pemandu kereta berusia 19 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan di kepala.

Rakannya pula mengalami kecederaan di bahagian tangan dan kaki.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang dinaiki dua remaja dalam perjalanan dari Melaka ke ibu negara.

“Siasatan awal mendapati kenderaan itu hilang kawalan dan terbabas sebaik melalui tempat kejadian. Mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Rakan pemandu itu yang cedera dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar untuk rawatan lanjut,” katanya hari ini.

Hock Poh berkata, mayat remaja itu turut dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE