Sebelum kejadian kira-kira pukul 5.15 petang itu, kedua-dua mangsa dikatakan dalam perjalanan dari arah laluan yang sama menuju ke Sabak Bernam dari Tanjong Karang.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Nor Azmi Isa ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu selain memaklumkan pemandu kereta jenis Toyota Camry berusia 49 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan meskipun kenderaan yang dipandunya terjunam ke dalam parit berhampiran.

"Berdasarkan siasatan awal, pemandu lori tangki jenis Hino itu berada di lorong kiri sebelum pemandu kereta terbabit memotongnya di lorong sebelah kanan.

"Bagaimanapun, apabila sampai di tempat kejadian, lori berkenaan secara tiba-tiba memasuki lorong kanan dan menghimpit kereta terbabit sehingga berlaku pelanggaran," katanya, di sini hari ini.

Tambah Nor Azmi, akibat pelanggaran itu, lori tangki tersebut telah terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelum terbalik melintangi laluan berkenaan.

Pemandu lori tangki yang tidak membawa muatan ketika itu katanya telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ), di sini untuk rawatan lanjut dan dilaporkan stabil.

Kes itu katanya disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE