Ketua Polis Daerah, Superintenden Hasron Nazri Hashim berkata, siasatan juga mendapati bas yang dipandu lelaki itu mempunyai dua rekod saman bersabit kesalahan pandu laju dan melanggar lampu isyarat.

Katanya, ujian saringan air kencing masih belum dilakukan terhadap lelaki berusia 38 tahun itu kerana keadaannya yang parah di bahagian lutut.

“Pemandu terbabit mempunyai satu saman pandu laju manakala dua saman oleh bas tersebut ketika masih di bawah pengurusan syarikat lama.

“Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian sementara yang terlibat dalam kemalangan pula dibawa ke IPD Kampar untuk pemeriksaan Puspakom,” katanya di sini hari ini.

Dalam kemalangan yang berlaku pada kira-kira pukul 6 petang semalam, seramai 15 penumpang dan seorang pemandu bas ekspres berkenaan parah.

Kemalangan berlaku melibatkan bas ekspres membawa 29 penumpang dan sebuah treler muatan kotak kosong.

Bas tersebut hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang treler berkenaan. - UTUSAN ONLINE