Ketua Pengarah Jabatan Laut, Datuk Baharin Abdul Hamid yang mengesahkan kejadian tersebut berkata, MV Polaris memang berlabuh di pelabuhan tersebut manakala kapal pengangkut pukal, Piraeus melalui kawasan perairan negara.

"Pelanggaran di perairan negara dan setakat ini semuanya masih berada dalam kawalan. Buat masa ini, tiada sebarang tumpahan minyak berlaku dan krew dari kedua-dua kapal selamat.

"Piraeus masih boleh bergerak dan kita telah mengarahkan kapal itu belayar ke Tanjung Bin iaitu masih dalam kawasan Pelabuhan Tanjung Pelepas," katanya ketika dihubungi Utusan Online, di sini hari ini.

Jelas Baharin, seramai 23 krew bertugas berada dalam MV Polaris ketika kejadian tersebut.

"Kita akan melakukan survei ke atas Polaris untuk memastikan tiada sebarang kerosakan, setakat ini badan kapal tidak pecah dan tiada sebarang kebocoran terhadap kapal itu," katanya.

Sementara itu, The Straits Times Singapura melaporkan pelanggaran kedua-dua kapal itu berlaku di perairan Singapura, berhampiran Tuas, kira-kira pukul 2.28 petang hari ini.

Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) dalam kenyataan berkata, MPA sangat khuatir dengan kehadiran kapal tanpa kebenaran di pelabuhan Singapura kerana boleh menyebabkan kekeliruan dalam kalangan komuniti perkapalan antarabangsa, selain mengancam keselamatan pelayaran di perairan negara tersebut.

Pada 12 Januari lalu, Kementerian Hal Ehwal Luar Singapura memaklumkan, Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Menteri bagi Iskandar Malaysia (JMCIM) melibatkan Malaysia-Singapura ditangguhkan dengan mendakwa Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian menceroboh perairan republik itu.

Walau bagaimanapun, Osman menafikan beliau menceroboh perairan Singapura sebaliknya mahu melawat kawasan perairan Johor dan itu merupakan haknya sebagai ketua kerajaan negeri tersebut. - UTUSAN ONLINE