Dalam kejadian pada pukul 11.15 malam itu, mangsa yang maut ialah Muhammad Sukri Koto Alwi, 24, manakala yang cedera ialah Chong Win Ken, 26, dan Yong Shui Tian, 24.

Ketua Polis daerah, Superintenden Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, kejadian berlaku di kawasan pantai berhadapan Mali-Mali Beach Resort dan bersebelahan Kalut Cafe And Bar di pantai berkenaan.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Maliha, Langkawi untuk proses bedah siasat. Mangsa yang cedera iaitu patah di bahagian pinggang dan tulang belakang juga dirawat di hospital sama.

“Kedua-dua mangsa yang cedera akan menjalani proses pembedahan di hospital itu hari ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, beberapa pelancong lain cuba menyelamatkan Muhammad Sukri dengan memberikan bantuan pernafasan (CPR), namun gagal dan disahkan maut di tempat kejadian.

Kata Mohd. Iqbal, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut. - UTUSAN ONLINE