Dalam kejadian pukul 6.35 pagi itu, mangsa Ban Kah Yan, 16, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala, manakala kakaknya, Ban Kah Kei, 18, cedera di bahagian tangan.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Zaldino Zaludin berkata, dua beradik itu menaiki motosikal jenis Suzuki dalam perjalanan ke sekolah berkenaan dan nahas berlaku tidak jauh dari sekolah.

“Siasatan awal mendapati motosikal mereka dari arah Taman Bukit Mantin menghala ke Pekan Mantin bergesel dengan sebuah kenderaan lain menyebabkan mereka terjatuh.

“Pembonceng meninggal dunia di tempat kejadian manakala penunggang motosikal hanya mengalami luka di tangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, mayat pelajar itu dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di ini untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan menafikan dakwaan yang tular di laman sosial mendakwa ambulans lewat tiba di lokasi kemalangan menyebabkan mangsa gagal diselamatkan.

Pengarahnya, Dr. Zainudin Mohd. Ali berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 6.49 pagi dan ambulans keluar dari klinik pada pukul 6.50 pagi dan tiba di lokasi kejadian pada pukul 7.20 pagi.

“Tiada kelewatan berlaku. Panggilan kecemasan diterima oleh Pusat Koordinasi Panggilan Perubatan Kecemasan HTJ,” katanya. - UTUSAN ONLINE