Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu, Koperal Khairul Zulhamie Mat Deris, 29, dan Koperal Mohd. Zamri Zainal, 47, dari Unit Pasukan Peronda Lebuh Raya (EMPV) sedang membantu kereta Honda Civic dipandu Muhammad Hakeem Badrol Hisham, 21, yang mengalami masalah tayar pancit.

Bagaimanapun, sebuah lori muatan barangan runcit dipandu lelaki berusia 35 tahun hilang kawalan lalu melanggar kenderaan peronda polis dan kereta Muhammad Hakeem yang berada di hadapan sebelum mengenai ketiga-tiga mangsa.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohamad Taib berkata, akibat kemalangan itu, Muhammad Hakeem maut di tempat kejadian manakala dua anggota polis itu pula masing-masing patah kaki kanan dan kiri.

Katanya, seorang lagi anggota polis Koperal Yaacob Udin, 53, dan pemandu lori itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Dua anggota polis terbabit dihantar ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut dan mayat Muhammad Hakeem juga dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat,” katanya.- UTUSAN ONLINE