Dalam kejadian pada pukul 5 petang itu, Inspektor Mohd. Hayat Eree, 33, cedera ringan manakala Sarjan Noor Hellmey Shabidi, 36, retak tulang rusuk kiri dan Sarjan Siti Salbiah Ishak, 29, pula parah dengan kecederaan patah tangan kiri.

Seorang lagi anggota, Koperal Mohd. Hayazi Mat Isa, 30, tidak cedera.

Kemalangan berlaku ketika Mohd. Hayat yang merupakan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah bersama tiga anak buahnya dalam perjalanan pulang selepas selesai operasi di Parit.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Mohamad Zainal Abdullah berkata, kesemua pegawai dan anggota polis yang menaiki Mitsubishi Pajero itu dalam perjalanan dari arah Parit ke Seri Iskandar.

Katanya, apabila tiba di tempat kejadian, sebuah kereta Perodua Viva yang datang dari arah bertentangan dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan kenderaan mereka.

“Akibat pelanggaran itu, pegawai dan anggota polis yang cedera dihantar ke Hospital Batu Gajah untuk rawatan lanjut.

“Perodua Viva yang dipandu lelaki berusia 46 tahun dan merupakan pesara tentera itu pula patah tulang rusuk kanan dan dihantar untuk rawatan di Hospital Changkat Melintang,” katanya. - UTUSAN ONLINE