Dalam kejadian kira-kira pukul 7 petang itu, Atikah Ahmad, 20, dari Kampung Chengal Lempong, Balok di sini meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera di kepala.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Yusof Ali berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian mangsa dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Gebeng.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai melanggar belakang treler itu yang sedang bergerak masuk ke simpang lain selepas keluar dari simpang pertama.

“Mayat mangsa yang tersepit di bawah treler itu dikeluarkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng selepas mengambil masa hampir setengah jam,” katanya di sini hari ini.

Mohamad Noor berkata, pemandu treler itu, Wan Muhammad Ikmal Rizal Mohd Jaafar, 23, dari Balok Maju di sini didapati cuai ketika memandu sehingga menyebabkan berlaku kemalangan.

“Polis masih meneruskan siasatan berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. - UTUSAN ONLINE