Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, di kawasan pulau terdapat 180 pokok tumbang dilaporkan di 129 lokasi dengan 150 pokok tumbang telah dibersihkan.

"Di kawasan Seberang Perai pula, sebanyak 152 pokok dilaporkan tumbang dan sehingga kini 130 pokok telah ditebang dan dibersihkan.

"Operasi pembersihan di kawasan pulau dan Seberang Perai telah mencapai 90 peratus dan dijangka diselesaikan hari ini," katanya di sini hari ini.

Kejadian ribut di Pulau Pinang yang berpunca daripada ekor taufan Lekima itu menyebabkan taburan hujan berjumlah 53 milimeter dengan kelajuan angin 100.8 kilometer sejam dan berlaku antara 10.30 malam hingga 12.30 malam semalam.

Selain mengakibatkan kerosakan pada kediaman, ribut itu menyebabkan beratus pokok tumbang malah ada yang menghempap kediaman serta kenderaan.

Menurut Jagdeep mangsa yang terlibat dengan kejadian ribut itu juga diminta untuk melaporkan segera kepada pihak polis bagi memudahkan penyaluran bantuan dilakukan.

Dalam pada itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP),Datuk Yew Tung Seang berkata, seramai 438 anggota MBPP terlibat dengan kerja-kerja pembersihan sejak malam semalam.

"Keutamaan diberikan kepada pembersihan kawasan jalan raya serta perumahan penduduk yang rosak akibat bencana ini," katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Datuk Rozali Mohamud berkata, seramai 365 anggota MPSP terlibat dalam operasi pembersihan akibat ribut itu. - UTUSAN ONLINE