Mangsa dikenali Akihiro Noda, seorang lelaki berusia 25 tahun, mengalami keretakan di bahagian punggung dan lebam di bahagian tulang rusuk.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sarawak berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kem 4, yang berada 1,820 meter dari paras laut ditangguhkan pada jam 3.30 petang tadi kerana keadaan cuaca yang tidak mengizinkan dengan kabus tebal menyukarkan operasi mengeluarkan mangsa.

Katanya, Pasukan Khas Unit Udara Bomba (PASKUB) kini berehat di Mulu dan operasi menyelamat akan disambung pada esok pagi.

Menurut jurucakap berkenaan, Balai Bomba dan Penyelamat Marudi menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 1.22 pagi semalam daripada seorang Pengurus Perkhidmatan Pelancongan/Pengurus Pentadbiran Taman Negara Mulu.

Beliau berkata kejadian dikatakan berlaku pada jam 9 malam pada 15 Disember lalu dan ketika ditemui semalam mangsa menunjukkan tindak balas namun tidak dapat bergerak ekoran kecederaan yang dialami serta memerlukan bantuan melalui udara untuk membawanya turun.

Ketika kejadian mangsa bersama seorang lagi ahli penyelidik warga Jepun dan tiga orang porter. - BERNAMA